17 September 2013
UUM ONLINE: UUM Press Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) telah mengadakan Festival Buku UUM 2013 di Perpustakaan Sultanah Bahiyah UUM bagi memenuhi keperluan informasi mahasiswa, pada 15-19 September 2013.
Festival tersebut disertai 13 pempamer di bawah MAPIM iaitu UUM Press, UIAM Press, Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM), Penerbit Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Penerbit Universiti Malaya (UM), Penerbit Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM), Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Penerbit Universiti Malaysia Sabah (UMS), Penerbit Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Penerbit Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan dua syarikat penerbitan swasta iaitu Mukabuku Bookstore dan Galeri Ilmu Sdn Bhd.
Terdahulu, UUM juga turut menganjurkan program pameran buku lebih besar iaitu Pesta Buku Utara.
Pengarah UUM Press, Dr Minah Harun, berkata Festival Buku UUM 2013 diadakan buat pertama kali di UUM dan ia merupakan acara pameran kecil bagi mengisi kekosongan almanak universiti bagi pameran-pameran seumpamanya.
“Selain menggalakkan mahasiswa hadir bagi mencari buku yang sesuai dengan bidang pengajian, kita wujudkan festival ini bagi memeriahkan suasana universiti sempena bermulanya semester baru bagi sesi 2013/2014.
Walaupun tidak membeli, sekurang-kurangnya mereka hadir bagi merasai kemeriahan suasana di sini dan melihat buku-buku yang mungkin tersenarai sebagai buku rujukan mereka nanti,” ujarnya ketika ditemui di festival tersebut
Mengulas berkenaan sambutan yang diterima, Eksekutif Pemasaran, Penerbit UMS, Marshell Kauam Gombor, 32, berkata sambutan yang diterima agak memberangsangkan kerana menyamai sambutan yang diterima ketika mengadakan pameran pada Pesta Buku Utara sebelum ini.
“Tidak dinafikan, sambutan yang diterima agak memberangsangkan. Mungkin mahasiswa di UUM tidak mahu lepaskan peluang ini kerana harga buku ilmiah yang dijual adalah lebih murah berbanding harga pasaran,” ujar beliau.
Pelajar tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam, Nurhidayah Zaharudin, berkata peluang untuk menghadiri festival buku seperti ini tidak boleh dipersia-siakan kerana ia bukan saja menawarkan pelbagai jenis buku yang sukar diperoleh, malah harga yang ditawarkan juga lebih rendah berbanding kedai buku biasa. “Ini peluang baik terutama bagi pelajar semester pertama yang sedang mencari buku rujukan bagi kursus-kursus awal yang mereka ambil.
Walaupun tidak ada buku yang saya inginkan di sini, peluang melihat dan membaca secara ringkas judul-judul buku yang dipamerkan akan memudahkan saya untuk mencari buku rujukan yang saya perlukan untuk kajian saya nanti,” ujarnya.