UUM ONLINE, 11 Mac 2013- Majlis Pelancaran Pesta Buku Ilmiah Malaysia oleh Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) dan Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) dilancarkan dengan rasminya oleh Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak di Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah pagi tadi.
Pesta dan jelajah buku yang bertemakan Cintai Buku, Cintai Ilmu ini berlangsung selama tujuh hari berbanding lima hari sebelum ini.
Dr Mohamed Mustafa ketika berucap merasmikannya berkata, pesta buku ini memainkan peranan penting dalam penerbitan buku negara bagi memperkaya dan menambahkan bahan bacaan misalnya ilmiah, pendidikan, pengembangan minda kanak-kanak, pembudayaan kerja, aspek sosial, ekonomi, kerohanian dan sebagainya.
“Memandangkan buku adalah produk warisan negara maka seharusnya peningkatan dalam penerbitan buku perlu digandakan kerana ia adalah khazanah dan warisan ummah yang sangat berharga dan menjadi sumber atau medium utama penyebaran ilmu serta dokumentasi intelektual masyarakat maju,”ujar beliau lagi.
Beliau menambah berdasarkan kepada piawai penerbitan negara maju yang telah ditetapkan oleh UNESCO, setiap seribu orang bersamaan dengan satu judul buku harus diterbitkan sebagai pra-syarat masyarakat negara maju.
Memandangkan negara kini mempunyai lebih 28 juta penduduk maka ini bermakna bagi mencapai negara maju kita perlulah menerbitkan sekurang-kurangnya 28 ribu judul setahun.
Menyentuh mengenai temanya Naib Canselor berkata, impaknya meliputi empat perkara penting untuk masyarakat UUM dan sekitarnya iaitu memupuk budaya membaca, memartabatkan budaya penerbitan ilmiah, memperkenal serta mempromosikan suasana dan budaya persekitaran serta memberi peluang kepada penerbit luar.
Sementara itu beliau juga menekankan dalam era kepesatan pembangunan dan cabaran hebat daripada buku-buku elektronik dalam media baru buku tetap menjadi pilihan kerana kepuasan membaca, memegang dan membelek merupakan kepuasan yang tersendiri bagi para pencinta buku.
Di majlis yang sama beliau turut menyampaikan hadiah dan anugerah kepada beberapa pengguna perpustakaan.
Antaranya peminjam terbanyak Lo Jian An, Siti Nurul Asma Amran dan Mohd Faiz Zalwi dari UUM COB, Muhammad Shafiy Mazlan dan Iz’aan Ahazwan Sharif dari UUM Colgis dan Osma Shafie dari UUM CAS.
Manakala bagi kategori pelajar Pengguna E-Resource paling aktif ialah Chin Mei Jun, Teo Hock Song dan Cheah Shuh Yuan dari UUM Colgis, Ida Sosiawani dan Kabiru Maitama Kura
Pengguna E-Resource kategori staf pula ialah Dr Zahiruddin Ghazali dan Zunarni Kosim dari UUM COB serta Bayadir Abbas Hussein Himyari dan Prof Madya Dr Mohd Hasani Dali dari UUM CAS.
Pesta Buku Utara ini membabitkan 38 pempamer dan dianjurkan bersama oleh MAPIM, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), MABOPA, UUM Press dan Perpustakaan Sultanah Bahiyah UUM.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran MAPIM, Tn. Hj Kassim Thukiman.Pesta buku ini juga terbuka kepada semua termasuk penduduk sekitar wilayah utara.