SINTOK, 16 NOVEMBER 2011: Para pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM) seharusnya tidak mempunyai masalah untuk menulis sekurang-kurangnya satu bab kerana mereka sudah sedia mempunyai hasil penulisan makalah dan juga kertas pembentangan dalam mana-mana persidangan.
Hal ini ditegaskan Profesor Madya Ab Aziz Yusof, yang bertindak sebagai mentor, semasa memberikan galakan kepada pensyarah UUM yang hadir dalam Bengkel Bersiri Penulisan Bab dalam Buku (Siri I) anjuran UUM Press hari ini di bawah projek Makmal Penerbitan UUM.
Bengkel Siri I ini dihadiri lebih 30 peserta yang terdiri bukan sahaja daripada pensyarah muda malah pensyarah berpengalaman dan pensyarah pelawat yang akan berlangsung setiap minggu sehingga 21 Disember ini.
Bengkel bersiri ini mendapat maklum balas yang menggalakkan daripada para peserta kerana amat berpuas hati dengan penerangan dan tunjuk ajar daripada seorang penulis yang telah berjaya menghasilkan lebih daripada 50 judul buku ilmiah. Buku-buku hasil tulisannya juga diterbitkan dengan pelbagai penerbit sama ada komersial atau ilmiah antaranya Pearson, Utusan Publications dan juga Dewan Bahasa dan Pustaka selain UUM Press sendiri.
Sebagai penulis berpengalaman, Ab Aziz sememangnya telah mencurahkan segala maklumat dan kepakaran yang dimiliki untuk dicontohi peserta kerana menurutnya segala hasil penulisan yang telah sedia sepatutnya dikembangkan lagi untuk menghasilkan penulisan yang boleh mendatangkan manfaat kepada pembaca.
Bengkel ini juga telah berjaya menjana penulisan dua judul buku karya asli, dua judul monograf dan 60 bab dalam buku.
Bengkel seterusnya akan diadakan pada 23 November, 1 Disember, 7 Disember, 15 Disember dan 21 Disember. Peserta juga berpeluang mendapat nasihat terus daripada editor UUM Press, Rosma Ishak dan Suhailawati Mohd. Shamsudin.