UUM Press telah memperoleh satu lagi pencapaian dengan mengadakan majlis pembukaan rasmi UUM Press Bookstore di Varsity Mall UUM pada 28 September 2011 lalu. Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Prof. Dato’ Dr. Mohamed Mustafa Ishak, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia. Turut hadir ialah wakil Jawatankuasa Pelaksana MAPIM, Prof. Dr. Asiah Sarji (Pengarah, Unit Penerbitan, UniMAP), wakil daripada Penerbit UPSI dan Penerbit UNISZA, wakil jabatan dan ahli-ahli akademik UUM.
Dalam ucapan perasmian, Naib Canselor berkata, “strategi pemasaran memainkan peranan penting dalam memasarkan buku terbitan UUM Press agar sampai ke tangan pembaca. Pemasaran buku ini bukan hanya melibatkan warga kampus sahaja tetapi perlu diperluaskan ke seluruh pelosok dunia”.
Menurut beliau lagi, walaupun dunia teknologi yang semakin canggih menyebabkan pembaca boleh memilih e-book, tetapi buku konvensional tetap mendapat perhatian dan minat pembaca. Ramai yang berpendapat buku dalam bentuk bercetak lebih selesa digunakan dan mudah di bawa ke mana-mana serta mampu menjadi kenangan abadi kepada sesiapa sahaja.
Beliau turut memberi saranan supaya UUM Press lebih kreatif dalam memperkenalkan produk dan perkhidmatan melalui penerbitan buku dengan spesifikasi mudah, nipis dan murah bagi memudahkan penjualan kepada pelajar dan orang ramai. Suasana santai dan selesa di sekeliling kedai juga dapat menarik lebih ramai pengunjung jika diisi dengan program seperti diskusi buku, bacaan puisi, sesi bertemu penulis buku dan aktiviti-aktiviti lain.
UUM Press Bookstore ini berbeza daripada kedai-kedai buku biasa kerana ianya diuruskan sendiri oleh sebuah penerbit. Kelebihan dan keunikan ini terserlah dengan strategi penawaran harga yang murah di mana buku-buku UUM Press dijual tanpa orang tengah. Konsep menerbit, mencetak dan menjual terus kepada pelanggan ini adalah kekuatan kepada UUM Press.
Dalam majlis tersebut juga, Naib Canselor turut melancarkan tiga judul baharu terbitan UUM Press. Judul-judul yang dilancarkan ialah “Preparing for MQF Documentation : A Manual” ( Nurahimah Mohd. Yusoff, Ahmad Jelani Shaari, Abdul Malek Abdul Karim, Mohd Izham Ghazali, Razamin Ramli, Abdull Sukor Shaari, Hamidah Bee Bi Abdul Karim, Ruzlan Md. Ali, Arsaythamby Veloo, Zahyah Hanafi & Ismail Mustafa), “Pedagogi-Dari Sekolah ke IPT” (Abdull Sukor Shaari) dan “Malaysia Homestay Programme: A Rural Cultural Tourism Product” (Kalsom Kayat).
Naib Canselor dan tetamu yang hadir turut melawat dan melihat persekitaran kedai buku. Pembukaan kedai buku UUM Press ini merupakan hasil buah fikiran dan cadangan Naib Canselor bagi memperkasakan pembudayaan penerbitan ilmiah di UUM.