All News

Tulis makalah jurnal sejam sehari

20 Jun 2011

Pensyarah disarankan supaya menulis makalah jurnal sejam sehari supaya dapat menghasilkan satu makalah sebulan.  Jika mereka dapat mendisiplinkan diri mengikut saranan ini, mereka mungkin dapat menghasilkan sepuluh makalah setahun.  Daripada sepuluh makalah tersebut mungkin sebahagian daripadanya diterima oleh jurnal berimpak tinggi dan selebihnya boleh diterbitkan dalam jurnal berwasit yang tidak disenaraikan sebagai berimpak tinggi.

Demikian tips yang diberikan oleh Prof. Dr. Muzafar Shah Habibullah (UPM) dalam bengkel sehari Writing for Journal Publication anjuran UUM Press pada 21 Jun 2011 di EDC-UUM.  Beliau juga ialah ahli Sidang Pengarang PERTANIKA Journal of Social Sciences and Humanities (terbitan UPM) dan Ketua Editor International Economic Review Journal (Serial Publications) yang mana kedua-duanya telah  tersenarai dalam pangkalan data SCOPUS. 

Menurut Prof. Dr. Muzafar Shah lagi, untuk memastikan makalah diterima dalam mana-mana jurnal berimpak tinggi, pensyarah harus menulis banyak makalah dan jangan berputus asa untuk belajar daripada ulasan penilai, kerana ulasan tersebut akan membantu mereka untuk menghasilkan makalah dengan lebih baik.  Pensyarah juga dinasihatkan untuk menetapkan satu author’s name sahaja supaya jumlah petikan (citation) hasil penerbitan mudah dikesan melalui google scholar.

Selain itu, bagi mempercepatkan penulisan makalah jurnal, Prof. Dr. Muzafar Shah mencadangkan supaya mengikut langkah berikut iaitu dimulai dengan penulisan bahagian Results & Discussion, Conclusion, Methodology, Literature Review, Introduction dan akhirnya References.

Bengkel ini bertujuan untuk memperbanyak jumlah makalah jurnal bagi diterbitkan dalam jurnal UUM iaitu jurnal IJMS, MMJ, IJBF, MJLI, JIS dan JICT yang boleh dilayari di http://uumpress.uum.edu.my dan jurnal berimpak tinggi.