Bengkel Penyediaan Indek Buku

Bengkel ini diadakan bertujuan untuk memberi panduan dan bimbingan kepada peserta untuk menyediakan indeks buku dengan baik di samping membantu pengarang menyediakan manuskrip yang lengkap. Tanggungjawab menyediakan indeks terletak kepada pengarang. Pengalaman lalu mendapati masih ramai pengarang yang belum memahami konsep indeks dan tidak dapat menyediakan indeks dengan baik.

bengkelindekk

Pensyarah yang berpengalaman selama 33 tahun dalam bidang mengindeks dan pengindeksan buku iaitu Prof. Madya Hajah Fuziah Mohd Nadzar dari Fakulti Pengurusan Maklumat, UiTM Puncak Perdana dijemput khusus untuk memberikan ceramah ini. Walaupun hanya dua hari sahaja masa berbengkel, beliau sedaya upaya mencurahkan ilmu yang ada pada beliau bagi membantu peserta memahami dan mendapatkan ilmu yang betul dan tepat mengenai indeks dan pengindeksan buku.

Seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada pensyarah, staf pentadbiran serta pesara UUM hadir untuk  mendapatkan ilmu ini. Mereka dibimbing untuk meningkatkan kemahiran penyediaan indeks. Para peserta diberi tunjuk ajar dengan pengenalan indeks, memilih entri, prinsip asas dalam mengindeks, mengendalikan rujuk silang dan mengindeks dengan memproses perkataan menggunakan Microsoft Word.

Bengkel ini dirasmikan oleh Pengarah UUM Press iaitu Dr. Ram Al Jaffri Saad. Beliau menekankan peri pentingnya ilmu mengindeks dalam menghasilkan sebuah buku yang berkualiti. Buku yang berkualiti akan meningkatkan jumlah jualan. Bengkel ini juga memberi ilmu kepada penulis yang baharu bagi menghasilkan indeks yang betul dan tepat.

Salah seorang peserta bengkel iaitu Prof. Madya Dr. Fauzi Hussin, pensyarah dari Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden berkata ini merupakan kali pertama beliau menghadiri bengkel penyediaan indeks buku dan banyak ilmu baharu yang beliau pelajari dalam bengkel menyediakan indeks ini.

Ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dekan SMMTC, Dr. Rosli Mohammed kerana memberi peluang kepada UUM Press mengadakan Bengkel Penyediaan Indeks Buku di SMMTC

Print