Pesta Buku Suburkan Budaya Membaca

 

UUM ONLINE: 19 Februari 2020. Pesta Buku Utara 2020 yang berlangsung di Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah, meriah dengan aktiviti mempromosi buku dan karya-karya penulis sekali gus menyuburkan budaya membaca. Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ayoib Che Ahmad yang mewakili Naib Canselor berkata, pada 13 Februari yang lalu, Perdana Menteri merangkap Pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr. Mahathir Mohamad melancarkan Dekad Membaca Kebangsaan, satu daripada inisiatif kerajaan untuk meningkatkan keberhasilan pembacaan rakyat. “Melalui slogan #MalaysiaMembaca, program anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia itu memberi fokus untuk meningkatkan jumlah pembacaan, jumlah pembaca dan sasaran pembaca yang lebih menyeluruh melalui penglibatan semua peringkat masyarakat.

“Ini bertepatan dengan tema Pesta Buku Utara tahun ini iaitu “Membaca Gaya Hidupku” yang dapat memperkasakan inisiatif kerajaan,” ucapnya sejurus sebelum merasmikan Pesta Buku Utara 2020, semalam.
Menurutnya, Kajian Interim Tabiat Membaca Rakyat Malaysia oleh Perpustakaan Negara Malaysia pada 2014 merekodkan seorang rakyat Malaysia membaca antara 15 hingga 20 buku setahun.

“Angka ini jauh lebih baik berbanding pada awal 1980-an iaitu hanya satu halaman setahun. Berdasarkan kajian berkenaan juga, didapati bahan bacaan pilihan rakyat Malaysia ialah majalah sebanyak 62.8 peratus; akhbar (61.2 peratus); buku ilmiah (54.8 peratus); novel dan fiksyen (47 peratus); bahan dalam talian (46.4 peratus); buku bukan fiksyen (29.9 peratus); komik (25.3 peratus) dan jurnal (19.9 peratus).

“Dalam zaman teknologi yang serba canggih ini, bahan bacaan tidak semestinya dalam bentuk fizikal bahkan dalam bentuk elektronik menunjukkan trend yang agak ketara antara 2008 hingga 2015, iaitu daripada USD 270 juta kepada USD 5 bilion di Amerika Syarikat dan United Kingdom, namun jualannya menurun selepas tahun berkenaan mungkin disebabkan ramai pembaca mengalami kesan screen fatigue sehingga ramai memilih untuk membeli dan membaca semula buku dalam bentuk fizikal,” katanya.

Oleh itu jelasnya, UUM Press dan rakan-rakan penerbit lain memiliki peranan yang penting untuk menjadi wahana penyebaran ilmu yang boleh mendatangkan manfaat kepada rakyat Malaysia.

Selain itu tambahnya, UUM Press mengambil ruang untuk menyampaikan anugerah royalti tertinggi bagi tujuan memberi galakan dan penghargaan kepada mereka yang telah menyemarakkan budaya penulisan dan penerbitan sekali gus menyumbang dalam memajukan aktiviti penerbitan.

“Pengiktirafan ini diharap akan menjadi pendorong kepada para penulis dan ahli akademik UUM supaya terus menghasilkan karya bermutu tinggi dan menulis menjadi satu identiti yang mencerminkan ke intelektual.
“Pihak universiti sentiasa memberi sokongan untuk memperkenalkan branding UUM Press sebagai penerbit antarabangsa agar lebih agresif mengetengahkan karya terbitannya ke persada antarabangsa,” ujarnya.
UUM Press telah menyertai pelbagai pesta buku antarabangsa yang menunjukkan hasil memberangsangkan apabila berjaya menjalinkan kerjasama dengan penerbit luar negara bagi menjayakan matlamat pengantarabangsaan yang ditetapkan.

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan anugerah royalti tertinggi kepada penulis dan pusat pengajian, selain melancarkan tiga buah buku terbaharu UUM Press bertajuk Inovasi dan Kreativiti Berteraskan Teknologi, Transformasi Sumber Manusia Dalam Sektor Awam dan Islamic Finance: Legal Frameworks, Practices And Shariah Criteria Review.