2019 SICONSEM 2019 Platform Perkongsian Penemuan Penyelidikan Bidang Sains Sosial

 

Sintok International Conference and Social Science and Management (SICONSEM) 2019 anjuran UUM Press buat kali ketiga menjadi platform kepada peserta dan pembentang antarabangsa dan tempatan untuk membentangkan kajian dan penemuan penyelidikan fokus kepada tiga tema iaitu “International Conference on Business, Economic and Management”, “International Conference on Education and Social Development” dan “International Conference on Law, Government and International Studies”.

Persidangan tahunan yang diadakan sejak dari tahun 2017 ini telah berlangsung di Hotel Thistle, Johor Bahru dari 26 hingga 27 November lalu dan telah menarik penyertaan seramai 350 orang. Daripada jumlah berkenaan, 160 orang terdiri daripada pembentang kertas kerja dari Nigeria, Indonesia, India, Filipina, Brunei, Bangladesh, Iraq, Thailand, Pakistan dan Malaysia.

Pengarah UUM Press, Prof. Madya Dr. Ram Al Jaffri Saad berkata, dengan tiga tema utama bidang pengurusan dan ekonomi, pendidikan, undang-undang dan pengajian antarabangsa, para penyelidik dan sarjana dapat berkongsi penyelidikan mereka dalam pembentangan di Siconsem ini dan secara langsung menyebarluaskan dapatan kajian mereka apabila diterbitkan dalam jurnal UUM. Proses penerbitan sama seperti makalah biasa iaitu perlu melalui proses penilaian dan penambahbaikan.

Keunikan Siconsem juga memberi peluang kepada peserta dan pembentang bertemu dan mendapat bimbingan daripada ketua pengarang semua jurnal UUM yang turut hadir di persidangan berkenaan. Siconsem merupakan salah satu usaha UUM Press untuk mendapatkan makalah bagi penerbitan kesemua 16 jurnal terbitan UUM.